Isnin, 2 April 2012


Bismillah

Alhamdulillah, setelah hampir sebulan menyepi maka hari ni sempat juga nak update blog yang tersayang ni.. selama sebulan ni amat sibuk dengan beberapa tugasan sehinggakan terpaksa melupakan seketika dunia blog. Banyak tugasan yang diterima dan Alhamdulillah telah siap 4 tugasan melalui 4 subjek.
1.  Metode Dakwah : Metode dakwah pada zaman Rasulullah
2.  Dunia Islam Abad ke-19: Sultan Mahmud Thani dan gerakan pembaharuan baginda
3.  Kemahiran Berfikir : Jenis-jenis pemikiran
4.  Minority Muslim : Muslim in Switzerland: Is Citizenship Really Incompatible with Muslim Identity?
Namun dihadapan masih menunggu banyak lagi tugasan yang perlu di laksanakan. Selama sebulan tanpa catatan yang ilmiah maka hari ini suka untuk diri ini memetik sedikit petikan tugasan yang telah dilaksanakan:
     Tentang Sultan Mahmud Thani
Sultan Mahmud II mengambil alih takhta pemerintahan daripada abangnya Sultan Mustafa IV pada 28 Julai 1808M ketika berumur dua puluh tiga tahun. Beliau merupakan anak bongsu Sultan Abd al-Hamid I (1774M-1789M) daripada dua belas adik beradik. Beliau dilahirkan di Istana Topkapi pada 20 Julai 1785M.  Beliau sinonim dengan gelaran “Peter The Great Kerajaan Uthmaniyyah” kerana aktiviti pembaharuan yang dilaksanakannya. Beliau mahir dalam pendidikan bahasa Turki dan bahasa klasik yang lain. Beliau juga mahir dalam bidang agama, syair dan sejarah
      Dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin tertinggi Kerajaan Uthmaniyyah di waktu yang agak kritikal dengan pelbagai masalah, Sultan Mahmud beliau mempunyai keazaman yang kuat untuk mengembalikan keagungan Kerajaan Uthmaniyyah. Di samping itu beliau disifatkan sebagai sultan yang mempunyai kebijaksanaan yang tinggi dalam menyelesaikan masalah dalaman dan juga luaran yang meruncing pada awal pemerintahan beliau. Usaha yang dilakukan pada peringkat awal menjurus kepada pengukuhan kuasa dan kerajaan yang dipimpinnya.
      Proses pertabalan Sultan Mahmud sebagai pewaris Kerajaan Uthmaniyyah telah melalui suasana yang kritikal dan mencemaskan. Setelah pihak pakatan yang diketuai oleh Janissari dan para ulama mengulingkan Sultan Salim, mereka telah melantik Sultan Mustafa IV yang juga merupakan abang kepada Sultan Mahmud menjadi sultan pada bulan Mei 1807M. Demi menjaga kelangsungan kuasa Sultan Mustafa, pihak Janissari telah menjalankan dasar yang keras terhadap para penentang.  Penindasan dan pembunuhan dilakukan. Sultan Mahmud bersama Sultan Salim telah dipenjara dalam tahanan yang sama. Dalam masa yang sama, penyokong Sultan Salim yang diketua oleh pemimpin tentera dari Danube, Bayraktar Mustafa Pasha ( bekas pemimpin  tentera Janissari yang beralih menyokong pembaharuan Sultan Salim dan dilantik menjadi menteri) bersama tenteranya bergegas menuju ke Istanbul untuk menyelamatkan Sultan Salim. Namun usahanya terlambat kerana Sultan Salim telah dibunuh. Sultan Mahmud yang pada mulanya akan dibunuh oleh abangnya Sultan Mustafa telah diselamatkan oleh petugas-petugas istana yang diketuai oleh Qizlar Aghasi, Ketua Sida Istana ( Black Eunuchs ). Bayraktar telah mengulingkan Sultan Mustafa dan menabalkan Sultan Mahmud sebagai Sultan Uthmaniyyah pada 28 Julai 1808M
      Sultan Mahmud telah meneruskan langkah pembaratan yang diasaskan oleh sepupu beliau Sultan Salim. Namun memandangkan situasi yang tidak stabil dari sudut dalaman dan luaran, beliau mengambil langkah berhati-hati dan bijaksana agar dasar pembaharuan dapat dilaksanakan dengan lancar. Pengukuhan kuasa disamping menjalankan dasar mengurangkan pengaruh para penentang (Janissari, ulama dan pemimpin wilayah) telah diambil. Usaha pengukuhan ini mengambil masa yang lama (lebih dari separuh tempoh pemerintahan beliau) namun langkah ini mendatangkan hasil yang memberangsangkan.

Tiada ulasan: