Selasa, 18 Disember 2012

N!La! SeBuaH PerSaHaBaTaN

Begitu mudah untuk mencari teman bergembira tetapi terlalu sukar untuk mencari teman berkongsi duka. Seandainya masih ingat bait-bait lagu Hijjaz tentang kawan. Dipaparkan di sini satu kisah untuk renungan bersama. Terdapat tiga orang sahabat yang bersama-sama ke mana sahaja ketika dalam pengajian di kampus. Mereka menyertai sebuah persatuan yang sama.

Pada hari terakhir di kampus, masing-masing menyatakan hala tuju hidup selepas ini. Dua daripada mereka telah bersetuju untuk bersama-sama bekerja di Selangor. Namun, sahabat yang seorang lagi telah mengambil keputusan untuk kembali ke negeri sendiri dan bekerja di sana. Kedua-dua sahabat ini kecewa kerana sahabatnya ini ingin meninggalkan mereka dan seolah-olah apa yang dirancang sebelum ini adalah sia-sia.

Tiada siapa menyangka, setahun kemudian sahabat ini kembali berjumpa mereka dan menghulurkan bantuan setakat yang mampu. Kedua-dua orang sahabat ini malu dengan diri sendiri kerana berprasangka terhadap sahabatnya. Ukhwah mereka kembali bertaut lantaran kemanisan ukhwah yang dikecap. Kerana kasih sayang yang ada dalam diri mereka. Di mana sekalipun kita berada, sahabat tetap diingati dalam doa. Yang paling penting, ikatan yang dibina adalah kerana –Nya.

Kasih sayang merupakan asas kepada ketenangan. Islam sendiri menekankan konsep kekeluargaan sebagai asas tarbiah yang membolehkan terjalinnya ikatan kasih sayang. Sekiranya kita imbau kenangan lalu bersama teman-teman sudah pasti ia masih terpatri dalam ingatan sekalipun telah bertahun tidak berjumpa. Ikatan kasih sayang sebenarnya dapat menjana kekuatan ingatan. Sehubungan dengan itu, walau jarak memisahkan hubungan kekeluargaan dan ikatan persahabatan masih utuh.


Menyingkap kisah Nabi Yusuf wajar diambil iktibar oleh semua. Bagaimana Nabi Yusuf ditinggalkan oleh adik beradiknya dalam perigi. Ditakdirkan Allah baginda diambil oleh sekumpulan musafir dan dijual kepada raja Mesir. Baginda dianugerahkan kepakaran mentafsir mimpi. Melihat kepada kejujuran dan kepakaran yang ada pada Nabi Yusuf, raja telah melantik baginda sebagai Menteri Kewangan. Ketika memegang jawatan ini, baginda ditakdirkan bertemu semula dengan saudara mara dan kedua ibu bapanya. Lantas mengikat kembali ikatan silatulrahim yang sedia terjalin. Dari kisah ini, Allah berfirman yang bermaksud :

“Maka ketika mereka membawanya dan sepakat memasukkannya ke dasar perigi, dan Kami wahyukan kepada Yusuf : Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan ini, sedang mereka tidak ingat lagi.” (SurahYusuf :15)

Bagi seorang ayah, bau badan anaknya masih segar di ingatan. Sepertimana firman Allah dalam Al Quran yang bermaksud :

“Pergilah kamu dengan membawa baju hamisku ini, maka letakkanlah ia ke wajah ayahku, nanti ia akan melihat kembali dan bawalah keluargamu semuanya kepadaku. Ketik kafilah itu keluar (dari Mesir). Sesungguhnya aku mencium bau Yusuf, sekiranya kamu tidak menuduhku lemah akal (tentu kamu membenarkan aku).”  
(Surah Yusuf :93-94)

Sungguhpun lama terpisah, ingatan Nabi Yaakub cukup kuat terhadap Nabi Yusuf iaitu anak kesayangnnya. Bagi Nabi Yusuf, perancangan negatif saudara mara ke atasnya masih segar dalam ingatan. Sirah ini memberikan petunjuk penting kepada kita dalam menjana kekuatan ingatan yang berteraskan hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Terasnya ialah perasaaan cinta dan kasih sayang, penyerahan diri kepada Tuhan dan kesediaan menempuh cabaran hidup dengan positif.

Dalam konteks kehidupan kita khususnya dalam persahabatan, adakalanya pertengkaran kecil pasti berlaku. Inilah yang mengeratkan lagi ikatan antara sahabat dan lebih mengenali diri masing-masing. Sekalipun ada hati yang terguris, lantaran kasih sayang yang wujud dalam diri berjaya menangkis segalanya. Kita akan memaafkan kesalahan sahabat kerana kasih akan sahabat. Ibarat manusia ini adalah satu anggota tubuh yang mana apabila salah satu anggota itu sakit, anggota lain pasti terasa juga tempiasnya. Jangan gadaikan sebuah persahabatan dek satu kesilapan yang dilakukan oleh sahabat kita. Tidak ada manusia yang sempurna di dalam dunia. Oleh itu, hendaklah kita menerima sahabat seadanya dan saling melengkapi.


Dalam meniti hari-hari yang mendatang, adakalanya tekanan melanda diri. Lantaran beban kerja yang menimbun dan masalah yang bertali arus datang dan pergi. Tika ini sahabat diperlukan untuk mencurahkan isi hati yang terpendam. Bersama renungkan analogi ini. Sekumpulan alumni yang mempunyai kerjaya yang mantap mengadakan pertemuan di rumah seorang profesor. Masing-masing menceritakan kehidupan dan tekanan kerja dan keluarga yang dihadapi. Mendengar luahan hati mereka, profesor tadi segera bangun menuju ke dapur. Kembali dengan membawa teko besar berisi air kopi dan pelbagai jenis cawan dan gelas. Ada yang diperbuat dari porselin, plastik, kaca dan kristal.

Profesor tadi menyuruh menyuruh mereka menuang sendiri kopi tersebut. Setelah semua bekas pelajarnya mengambil kopi masing-masing, profesor itu berkata : “ Jika anda semua perasan, semua cawan yang cantik dan mahal telah diambil dan meninggalkan cawan yang biasa dan kelihatan murah. Ini adalah keadaan yang biasa di mana anda semua mahukan yang terbaik dalam hidup anda, tetapi itulah punca kepada masalah dan ‘stress’ yang anda semua hadapi.

Apa yang sebenarnya diperlukan hanyalah kopi, bukan cawannya tetapi anda sendiri telah memilih untuk mengambil cawan yang terbaik. Dan lebih teruk lagi anda memerhatikan cawan yang diambil oleh orang lain. Kehidupan diibaratkan seperti kopi. Kerjaya, wang dan masyarakat adalah cawan tersebut. Cawan sekadar alat untuk mengisi kandungannya iaitu kehidupan. Kehidupan tidak berubah dan hanya alat yang berubah. Kadangkala kita terlalu fokus kepada cawan yang dipegang sehingga gagal untuk menikmati kopi tersebut.

Bagaimana penulis ingin mengaitkan dalam apa situasi sekalipun kita memerlukan seseorang untuk mendengar dan memberikan sokongan di kala diri lemah. Bagaimana pelajar-pelajar tadi saling memerlukan antara mereka. Sebagai penasihat dan pembimbing tika diri sedang leka dibuai mimpi indah. Oleh itu, janganlah mengabaikan atau memutuskan ukhwah yang terjalin kerana kesibukan duniawi. Hargailah sahabat yang berada di sekeliling kita.

Teliti kembali, adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai sahabat sebaik mungkin. Atau sekadar teman untuk minum kopi dan teh sahaja. Renungi diri. Jadilah sahabat yang baik dan sentiasa mendoakan kesejahteraan sahabatnya. Jujurlah dalam bersahabat. Sebelum meneruskan persahabatan yang mendalam mohonlah petunjuk Allah agar tidak tersalah pilih. Terimalah sahabat anda sebaiknya dan maafkanlah kesilapan yang sengaja atau tidak sengaja dilakukan. Persahabatan yang dijalin kerana Allah pasti berkekalan. Nilai sebuah persahabatan itu tidak mampu dibeli dengan wang dan harta lantaran harganya yang tidak terungkap.

Jumaat, 14 Disember 2012

Buat Mereka Bernama Sahabat



Mata...
Pernahkah kau melemparkan pandangan sinis
Hingga membuatkan hati sahabatku terasa?

Lidah...
Adakah kau tersalah bicara
Hingga membuatkan hati sahabatku terluka?

Hati...
Betulkah kau berburuk sangka
Hingga membuatkan hati sahabatku kecewa?


Tahukah kamu
Bahawa di antara ramai sahabatku
Kamu semua adalah yang teristimewa?
Tidak pernah terlintas dimindaku untuk
Menyakitimu
Apatah lagi melukakanmu

Lantas
Mengapa kini kau mula berubah sikap
Tidak bertegur sapa denganku
Tidak mahu berbicara denganku
Tidak mempedulikan aku


Mengapa wahai Sahabat?
Tahukah hatiku merana dengan perbuatan kamu?
Hiba dengan Sikapmu?
Janganlah kamu berdiam diri tanpa memprotesku
Terangkan tentang salahku
Moga aku tahu tentang silapku

Sahabat
Andai kamu masih dengan sikapmu itu
Aku redha
Mungkin salahku besar buatmu
Namun ketahuilah
Aku mohon
Agar pintu hatimu terbuka untuk memaafkanku
Dan kembali bergelak tawa denganku
Seperti masa-masa dulu.

 Jom kita minum dulu.. Hari ni tukar dari kopi kepada Susu... jom...
 

Selasa, 4 Disember 2012

DAP Exco PERDANA 3 Disember 2012

Bismillah
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
Al-Baqarah ayat 186

Pelajaran dan pengajaran dari ayat ini:

ALLAH Ta’ala dekat (qarib) dengan hamba-hamba-Nya dengan ilmunya bukan dengan zat-Nya. Zat ALLAH ada di atas ‘Arsy-Nya di atas langit sebagaimana tersebut dalam al-Qur’an dan as-Sunnah dengan pemahahaman para salaf. Sifat dekat ALLAH tidak menyerupai apapun dari makhluknya dan begitu pula sifat-sifat-Nya yang lain.

Disyariatkan dan diperintahkan berdoa kepada ALLAH, kerana berdoa antara perbuatan yang diredhai-Nya sehingga termasuk ibadah. Semakin kerap berdoa maka dia akan mendapat lebih banyak redha dan pahala dari ALLAH di samping dimakbulkan doanya.
 

Isnin, 26 November 2012

5 PeTua IsTiQoMah dalam IbaDaT

Bismillah


Istiqamah Dalam Berpegang Pada Agama Allah Bukan Ringan.
 Terutamanya dalam konteks kehidupan moden sekarang ini apabila budaya hedonism mewarnai corak kehidupan kita dan membentuk minda masyarakat kita. Solat dipandang aktiviti buang masa, menutup aurat dilihat ketinggalan zaman dan agama malu untuk diperbincangkan.
Dalam konteks kehidupan sebegini, melaksanakan tuntutan agama memang terasa berat untuk dilakukan. Untuk itu, kita memerlukan motivasi dan perancangan yang baik agar dapat terus istiqamah dalam ibadah.
Pada kesempatan ini, izinkan saya mengajukan lima petua istiqamah dalam ibadah. 

Pertama: Menyedari selalu akan hakikat diri kita yang serba kekurangan. Manusia adalah makhluk yang sangat lemah. Ia selalu terdedah untuk pelbagai penyakit, musibah, kemiskinan dan lain sebagainya. Siapa yang ingin menjaga diri atau keluar daripada perkara-perkara buruk tersebut, ia mesti menjaga hubungan baiknya dengan Allah Yang Maha Berkuasa.
Imam Al-Syafii pernah berkata: "Kelemahan adalah sifat manusia yang paling jelas. Barang siapa yang selalu menyedari sifat ini, ia akan memperoleh istiqamah bersama Allah SWT."

Kedua: Menyedari hakikat hidup kita di muka bumi ini. Setiap daripada kita adalah tetamu, dunia ini adalah tempat persinggahan, negeri asalnya adalah akhirat dan bekalannya adalah ibadah.Setiap tamu suatu ketika nanti akan pergi meninggalkan tempat persinggahan dan berpindah ke negeri asalnya. Segala sesuatu yang ingin kita bawa ke akhirat, siapkanlah dari sekarang. Pastikan kita telah memiliki rumah yang selesa di akhirat nanti sebelum kita meninggalkan dunia ini. Caranya dengan memperbanyak ibadah dan amal kebajikan.Selama kita masih hidup di dunia, peluang membeli barangan akhirat itu masih terbuka. Namun sebaik kita berada dalam sakaratul maut, pada saat itu peluang tersebut telah tertutup. Pada saat itu, barangan akhirat yang sangat kita perlukan itu menjadi sangat mahal. Ia tidak lagi dapat dibeli dengan wang ringgit, bahkan semua harta kita sekalipun.
Allah berfirman: Infakkanlah sebahagian daripada harta yang telah kami berikan kepadamu sebelum datang kematian, lalu kamu berkata: Wahai tuhanku, tangguhkanlah sekejap kematian agar aku dapat bersedekah dan menjadi orang yang saleh. Dan Allah tidak akan menangguhkan kematian seseorang apabila telah tiba masanya. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (al-Munafiqun: 10-11)
Jom

Ketiga: Lakukan ibadah mengikut kemampuan. Jangan terlalu berlebihan sehingga melahirkan rasa bosan dan serik. Dua rakaat sunat tahajud yang rutin kita kerjakan setiap malam, lebih baik daripada 100 rakaat yang kita lakukan sekali sahaja seumur hidup.
Rasulullah bersabda: Wahai manusia, ambillah amalan yang kamu mampu lakukannya (dengan rutin). Sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehinggalah kamu jemu. Dan amalan yang paling Allah cintai adalah apa yang dilakukan dengan istiqamah, meskipun sedikit. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Ibnu Al-Jauzi, berlebihan dalam ibadah adalah salah satu muslihat syaitan. Apabila ia tidak dapat menghalangi manusia daripada melakukan ibadah, maka ia akan mendorongnya untuk melakukan ibadah secara berlebihan. Akhirnya ia sendiri menjadi bosan dan meninggalkan perbuatan tersebut.

Keempat: Bercampurlah dengan orang-orang yang tepat. Sebab perjalanan jauh sangat membosankan jika kita menempuhnya seorang diri. Perjalanan itu akan menjadi lebih ringan, bahkan menyenangkan, jika kita berjalan bersama orang-orang yang kita cintai. Begitu juga perjalanan kita menuju akhirat.
Justeru, carilah orang-orang yang satu destinasi dengan kita menuju syurga. Kenali mereka dengan akhlak mulia yang terdapat dalam diri mereka. Sebab ahli syurga adalah orang-orang yang sopan, lemah lembut, tawaduk, tidak menyimpan hasad dengki, suka menghormati orang lain dan pelbagai sifat mulia lainnya.
Setelah anda menjumpai, bersahabatlah dengan mereka. Sebarkan selalu salam kedamaian sebagai tanda cinta dan akhlak mulia.
Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak akan masuk ke syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu saling mencintai. Mahukah kamu aku beritahukan sesuatu yang jika dilakukan maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu. (riwayat Muslim)

Kelima: Muhasabah diri selalu, jangan pernah merasa cukup atas ibadah dan kebaikan yang kita lakukan dan perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Sering-seringlah meminta ketetapan iman dan tidak terpesong daripada jalan yang Allah redai.
Imam al-Tirmizi meriwayatkan bahawa doa yang selalu dipanjatkan Rasulullah ialah: "Wahai Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu."
Umi Salamah: "Ya Rasulullah, mengapa tuan selalu berdoa seperti ini?"
Baginda menjawab: "Wahai Umi Salamah, setiap hati anak Adam berada di antara dua jari jemari Allah. Jika Allah kehendaki, Dia akan menjadikannya lurus. Dan jika Dia kehendaki maka Dia akan menjadikannya condong kepada kesesatan."

Semoga Allah selalu menetapkan hati kita dalam agama-Nya dan mengurniai kita istiqamah dalam ibadah. Amin ya rabbal 'alamin
Tea panas ni ada kat kedia Bakery UKm :)
 

Ahad, 25 November 2012

Nilaian Allah yang Terbaik

Bismillah




[ Kadang -kadang dalam penatnya berjuang, hati lupa dinilai, lalu menjadilah ia seperti debu yang berterbangan ]
...............................................................................................
Allahu Rabbi...Takutnya~Bergetar jiwa dan hati ni bila merenung maksud sebuah Sabda Rasululllah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang pertama kali diputuskan hukumannya pada hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang mati syahid, dia akan dihadapkan kepada Allah SWT, kemudian Allah SWT mengingatkannya akan nikmat yang pernah dianugerahkan kepadanya sewaktu di dunia dulu, maka dia pun kembali mengingatinya, kemudian Allah Taala bertanya "Apa yang engkau lakukan dengan nikmat yang Aku anugerahkan kepadamu? Ia menjawab "Nikmat itu saya pergunakan untuk berperang kerana membela agamaMu sehingga aku mati syahid. Allah SWT berfirman "Engkau dusta! Engkau telah berperang dengan tujuan supaya disebut sebagai orang yang berani (pahlawan) dan perkara itu telahpun diperkatakan orang sebegitu ke atas mu." Kemudian dia diheret di atas mukanya dan dicampakkan ke dalam neraka.
Kemudian dihadapkan pula seorang yang alim, dia mengajar ramai manusia dan banyak membaca al-Quran. Allah SWT bertanya "Apakah yang engkau telah lakukan dengan nikmat-ku itu? Ia berkata "Aku belajar ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain dan banyak membaca al-Quran demi keredaan-Mu. Allah berfirman "Engkau dusta! Sebenarnya engkau belajar dan mengajarkan ilmu supaya disebut sebagai orang alim, dan engkau membaca Al-Quran supaya mendapat gelaran Qari’ dan semua itu telahpun disebut orang sebegitu kepadamu." Orang itu kemudian diheret dan dihumban ke dalam neraka.
Kemudian dihadapkan pula orang yang dermawan yang diluaskan rezekinya oleh Allah Taala dengan pelbagai macam harta benda. Kemudian Allah bertanya "Apa yang engkau telah lakukan ke atas nikmatKu? Ia menjawab "Tiada satu jalan pun yang Engkau suruh supaya diberikan derma kepadanya kecuali saya telah dermakan harta saya di sana . Allah SWT berfirman "Engkau dusta! Engkau menderma supaya disebut sebagai orang yang dermawan dan ia telahpun disebut orang begitu kepadamu. Kemudian ia diheret ke neraka." Hadis riwayat Imam Muslim
Betapa ruginya kita jika amal itu bagai debu yang berterbangan. Firman Allah Taala yang bermaksud ”Dan kami tunjukkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan.” (Surah Al-Furqan: Ayat 23).Nauzubillahi min zaalik, moga Allah terima segala amalan kita dan dijauhkan dari sifat riak dan sebgainya....

Khamis, 25 Oktober 2012

Perutusan Aidil Adha 1433H – Pengorbanan menuju keredaan Allah SWT

Perutusan Aidil Adha 1433H – Pengorbanan menuju keredaan Allah SWT

Dalam agama kita sendiri, diminta orang Islam meraikan hari raya dua kali setahun, sebutan raya ini menimbulkan rasa gembira, suka dan meriah di kalangan anak-anak dan orang-orang tua sekali pun.  Hatta bila kita raya, kita tidak dibenarkan puasa, kalau kita puasa ertinya kita tidak sudi menerima ‘rukhsah’ dari Allah. Apabila tidak boleh puasa kita dikehendaki makan dan minum.
Di samping itu juga kita diminta untuk memberi makan kepada fakir miskin. Ketika menyambut Raya Puasa, sebelumnya kita ada zakat fitrah untuk diberi kepada orang yang layak menerimanya. Sementara pada Hari Raya Haji ini pula, kita diminta untuk melakukan korban. Firman Allah SWT:
 
”Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”(Surah Al-Hajj ayat 36)
Bermakna kita boleh makan, tetapi kita diminta untuk bagi-bagikan daging tersebut kepada fakir miskin. Tradisi kita di Kelantan, kita buat gulai atau bagi mentah-mentah sahaja akan daging korban itu. Apa pun, ada kelebihan bila kita bagi-bagikan daging mentah kerana orang yang menerima itu akan makan seisi keluarga atau semua anak beranak boleh merasai. Walaupun daging yang kita bagi itu boleh jadi sekeping dua sahaja, tetapi sebuah rumah (seisi keluarga) boleh menikmati dngan pelbagai masakan yang digemari.
Ketiganya, bila Hari Raya Korban, kita diingatkan balik dengan cerita Nabi Ibrahim AS, iaitu orang pertama melakukan korban. Sebagaimana firman-Nya:
 
”Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.(Surah Al-Soffat ayat 102)
Kisahnya ialah suatu hari Allah SWT beri mimpi kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya. Suatu tugas yang amat susah, kerana sembelih anak bukan seperti menyembelih ayam atau lembu-kambing. Namun apabila Allah suruh sesuatu, maka bagaimana susah sekalipun kita kena lakukan. Kemudian atas kesediaan (ketaatan) Nabi Ibrahim itu, maka Allah telah menggantikannya dengan seekor binatang (kibas).
“Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.” (Surah Al-Asoffat 107),
Pengajaran besar di sebalik peristiwa terebut ialah ketaatan yang tinggi terhadap perintah Allah, meskipun ia berlaku menerusi mimpi. Nilai ketaatan itu boleh dilihat atas kerana perintah menyembelih anak bukannya sembelihan kambing-biri-biri atau lembu-kerbau. Justeru kita kena ingat balik bahawa Nabi Ibrahim disuruh sembelih anak hanya dalam mimpi sahaja, bukan melalui wahyu yang diturun khusus untuk Nabi Ibrahim berkorban.
Atas sebab ketaatan itulah, lalu Nabi Ibrahim bawa Nabi Ismail dari Mekkah menuju ke Mina, boleh jadi sambil berjalan, sambil menghiburkan hati mengenangkan kasih sayangnya terhadap anaknya. Apa pun Allah SWT Maha Mengetahui atas perasaan itu. Sebagaimana firman-Nya:
 
“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.”(Surah Al-Asoffat 105)
Ini bezanya kita orang kampung (orang awam) dibandingkan dengan seorang nabi. Bagi Nabi Ibrahim, mimpinya adalah wahyu. Sementara kita orang kampung bila bermimpi, kita kena tapis dahulu baik atau tidak. Kalau bermimpi benda baik, kita kita sebut ‘Alhamdullah’ dan kalau boleh kita ambil air sembahyang atau bertakbir pada ketika itu supaya Allah benarkan mimpi tersebut.
Apa yang perlu kita ambil pengajaran dan pegangan ialah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim ini sangat perlu dituruti sampai khiamat sekalipun. Begitu juga dalam masa kita berhari raya, kita diminta bertakbir dan antaranya ada perkataan “wahazamal ahzab bawahdah” yang menunjukkan kekuasaan Allah yang memporak-perandakan askar Ahzab. Ahzab adalah nama satu peperangan yang berlaku di antara kafir Quraisy Mekah pada tahun kelima Hijrah. Makna Ahzab ialah gandingan parti-parti, atau group-group, atau kumpulan-kumpulan daripada pemimpin puak kafir Quraisy termasuk Abu Supian yang di kerah untuk melawan Nabi Muhammad bagi menghalang pengaruh Nabi Muhammad yang semakin berkembang sehingga membimbangkan mereka. Askar Ahzab tadi berkumpul untuk berperang di sebuah tempat di tepi Madinah. Sementara pihak Nabi Muhammad bersama sahabat-sahabat bermesyuarat untuk mencari jalan bagaimana untuk menghadapi askar Ahzab itu.
Takdir Allah SWT, seorang sahabat bernama Salman Parisi (asalnya orang Iran bukan orang Arab) telah memberi pandangan: “Ya Rasulullah orang kami Parsi di Iran kalau ada masalah perang satu cara yang kami lakukan adalah gali parit.” Lalu diterima oleh Nabi Muhammad. Maka perang itu dinamai Ahzab dan ada pula menyebutnya perang Khandak mengambil sempena peristiwa Nabi sendiri yang gali parit.
Sementara ketika peristiwa gali parit itu ada sahabat menemui seketul batu besar yang tidak boleh dicakul, maka sahabat Nabi pergi jumpa Nabi: “Ya Rasulullah ada batu besar, tidak boleh digali.” Maka Nabi pegang cangkul sambil bertakbir memukul batu itu, lalu keluar percikan api dari batu itu, bercahaya. Pada ketika menggali itu, pengorbanan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh sahabat-sahabat Nabi amat hebat sehingga ada yang tidak makan. Apa pun, ceritanya cukup panjang dan boleh mengalir air mata apabila kita hayati balik cerita itu.

Satu lagi peristiwa daripada sejarah peperangan, ada seorang sahabat bernama Mas’ud Abu Naim Asjaim yang pada awalnya dikerah oleh Abu Supian (puak kafir Quraisy) untuk berperang dengan Nabi Muhammad. Apa pun, Mas’ud bertanya balik apa salahnya Muhammad, sedangkan Muhamad seorang yang baik dan dikenali sebagai “Al-Amin”––orang yang penuh amanah. Atas persoalan itu, terlintas difikirannya untuk berjumpa dengan Rasulullah seorang diri, lalu dia membuat pengakuan: “Ya Rasulullah aku bersalah, benda apa yang boleh aku lakukan. Aku baru sahaja masuk Islam dan orang kampung aku belum tahu lagi. Aku dikerah, tetapi tiada alasan untuk bersama mereka yang mahu menyerang Rasulullah. Sedangkan di Mekah, Rasulullah adalah di kalangan orang yang baik-baik, kerana orang Mekah sering meletakan barang emas di rumah Rasulullah.” Lalu Mas’ud memohon maaf kepada Rasulullah dan bertanya benda apa yang dapat aku lakukan untuk menebus dosa yang aku lakukan.
Atas pengakuan jujur Mas’ud itu, Nabi Muhammad SAW telah beri mandat kepadanya supaya menggunakan akal fikiran untuk memusnahkan musuh daripada Mekah. Mandat itu dilaksanakan oleh Mas’ud dengan penuh kebijaksanaan.  Lalu Mas’ud telah pergi seorang diri dan melaga-lagakan puak-puak Yahudi yang dahulunya berjanji setia dengan Nabi Muhammad––kalau  kamu kena serangan kami akan tolong, dan kalau kami kena serangan kamu kena tolong. Akhirnya puak askar Abu Sufian telah berpecah-belah dan Allah kirimkan angin yang kencang, malam yang gelap pekat, udara yang sangat sejuk sehingga semua khemah terbalik. Kemudian Abu Sufian telah mengarahkan askarnya balik dan tidak jadi berperang. Ketika itu Nabi ambil tindakan kepada puak Yahudi kerana mengkhianati perjanjian dan menghalau mereka dari Madinah.
Di atas pengajaran dari sejarah yang dipaparkan ini, maka sambutlah Hari Raya Haji ini dengan rasa syukur, dan janganlah kita terlalu gembira. Kita kena ingat akan kegigihan (pengorbanan) Nabi Ibrahim AS dan Nabi Muhammad SAW itu dan jadikanlah pendoman untuk kita menjadi insan yang bernar-benar taat dan patuh kepada-Nya.
Semoga kita mencapai keredaan Allah di akhirat kelak di atas kegigihan, keikhlasan, serta integriti kita mengambil dan mengamalkan segala kebaikan daripadanya, demi mencari keredaan Allah dan mendapat layanan baik di dalam kubur dan di padang Masyar kelak.
(Perutusan yang disesuaikan dari rakaman RTV Kelantan pada 23 Oktober 2012 bersempena Sambutan Aidil Adha pada 10 Zulhijah 1443 bersamaan 26 Oktober 2012).