Perutusan Aidil Adha 1433H – Pengorbanan menuju keredaan Allah SWT
Dalam agama kita sendiri, diminta orang Islam meraikan hari raya dua kali setahun, sebutan raya ini menimbulkan rasa gembira, suka dan meriah di kalangan anak-anak dan orang-orang tua sekali pun. Hatta bila kita raya, kita tidak dibenarkan puasa, kalau kita puasa ertinya kita tidak sudi menerima ‘rukhsah’ dari Allah. Apabila tidak boleh puasa kita dikehendaki makan dan minum.
Di samping itu juga kita diminta untuk memberi makan kepada fakir miskin. Ketika menyambut Raya Puasa, sebelumnya kita ada zakat fitrah untuk diberi kepada orang yang layak menerimanya. Sementara pada Hari Raya Haji ini pula, kita diminta untuk melakukan korban. Firman Allah SWT:
”Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”(Surah Al-Hajj ayat 36)
Bermakna kita boleh makan, tetapi kita diminta untuk bagi-bagikan daging tersebut kepada fakir miskin. Tradisi kita di Kelantan, kita buat gulai atau bagi mentah-mentah sahaja akan daging korban itu. Apa pun, ada kelebihan bila kita bagi-bagikan daging mentah kerana orang yang menerima itu akan makan seisi keluarga atau semua anak beranak boleh merasai. Walaupun daging yang kita bagi itu boleh jadi sekeping dua sahaja, tetapi sebuah rumah (seisi keluarga) boleh menikmati dngan pelbagai masakan yang digemari.
Ketiganya, bila Hari Raya Korban, kita diingatkan balik dengan cerita Nabi Ibrahim AS, iaitu orang pertama melakukan korban. Sebagaimana firman-Nya:
”Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.(Surah Al-Soffat ayat 102)
Kisahnya ialah suatu hari Allah SWT beri mimpi kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya. Suatu tugas yang amat susah, kerana sembelih anak bukan seperti menyembelih ayam atau lembu-kambing. Namun apabila Allah suruh sesuatu, maka bagaimana susah sekalipun kita kena lakukan. Kemudian atas kesediaan (ketaatan) Nabi Ibrahim itu, maka Allah telah menggantikannya dengan seekor binatang (kibas).
“Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.” (Surah Al-Asoffat 107),
Pengajaran besar di sebalik peristiwa terebut ialah ketaatan yang tinggi terhadap perintah Allah, meskipun ia berlaku menerusi mimpi. Nilai ketaatan itu boleh dilihat atas kerana perintah menyembelih anak bukannya sembelihan kambing-biri-biri atau lembu-kerbau. Justeru kita kena ingat balik bahawa Nabi Ibrahim disuruh sembelih anak hanya dalam mimpi sahaja, bukan melalui wahyu yang diturun khusus untuk Nabi Ibrahim berkorban.
Atas sebab ketaatan itulah, lalu Nabi Ibrahim bawa Nabi Ismail dari Mekkah menuju ke Mina, boleh jadi sambil berjalan, sambil menghiburkan hati mengenangkan kasih sayangnya terhadap anaknya. Apa pun Allah SWT Maha Mengetahui atas perasaan itu. Sebagaimana firman-Nya:
“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.”(Surah Al-Asoffat 105)
Ini bezanya kita orang kampung (orang awam) dibandingkan dengan seorang nabi. Bagi Nabi Ibrahim, mimpinya adalah wahyu. Sementara kita orang kampung bila bermimpi, kita kena tapis dahulu baik atau tidak. Kalau bermimpi benda baik, kita kita sebut ‘Alhamdullah’ dan kalau boleh kita ambil air sembahyang atau bertakbir pada ketika itu supaya Allah benarkan mimpi tersebut.
Apa yang perlu kita ambil pengajaran dan pegangan ialah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim ini sangat perlu dituruti sampai khiamat sekalipun. Begitu juga dalam masa kita berhari raya, kita diminta bertakbir dan antaranya ada perkataan “wahazamal ahzab bawahdah” yang menunjukkan kekuasaan Allah yang memporak-perandakan askar Ahzab. Ahzab adalah nama satu peperangan yang berlaku di antara kafir Quraisy Mekah pada tahun kelima Hijrah. Makna Ahzab ialah gandingan parti-parti, atau group-group, atau kumpulan-kumpulan daripada pemimpin puak kafir Quraisy termasuk Abu Supian yang di kerah untuk melawan Nabi Muhammad bagi menghalang pengaruh Nabi Muhammad yang semakin berkembang sehingga membimbangkan mereka. Askar Ahzab tadi berkumpul untuk berperang di sebuah tempat di tepi Madinah. Sementara pihak Nabi Muhammad bersama sahabat-sahabat bermesyuarat untuk mencari jalan bagaimana untuk menghadapi askar Ahzab itu.
Takdir Allah SWT, seorang sahabat bernama Salman Parisi (asalnya orang Iran bukan orang Arab) telah memberi pandangan: “Ya Rasulullah orang kami Parsi di Iran kalau ada masalah perang satu cara yang kami lakukan adalah gali parit.” Lalu diterima oleh Nabi Muhammad. Maka perang itu dinamai Ahzab dan ada pula menyebutnya perang Khandak mengambil sempena peristiwa Nabi sendiri yang gali parit.
Sementara ketika peristiwa gali parit itu ada sahabat menemui seketul batu besar yang tidak boleh dicakul, maka sahabat Nabi pergi jumpa Nabi: “Ya Rasulullah ada batu besar, tidak boleh digali.” Maka Nabi pegang cangkul sambil bertakbir memukul batu itu, lalu keluar percikan api dari batu itu, bercahaya. Pada ketika menggali itu, pengorbanan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh sahabat-sahabat Nabi amat hebat sehingga ada yang tidak makan. Apa pun, ceritanya cukup panjang dan boleh mengalir air mata apabila kita hayati balik cerita itu.
Satu lagi peristiwa daripada sejarah peperangan, ada seorang sahabat bernama Mas’ud Abu Naim Asjaim yang pada awalnya dikerah oleh Abu Supian (puak kafir Quraisy) untuk berperang dengan Nabi Muhammad. Apa pun, Mas’ud bertanya balik apa salahnya Muhammad, sedangkan Muhamad seorang yang baik dan dikenali sebagai “Al-Amin”––orang yang penuh amanah. Atas persoalan itu, terlintas difikirannya untuk berjumpa dengan Rasulullah seorang diri, lalu dia membuat pengakuan: “Ya Rasulullah aku bersalah, benda apa yang boleh aku lakukan. Aku baru sahaja masuk Islam dan orang kampung aku belum tahu lagi. Aku dikerah, tetapi tiada alasan untuk bersama mereka yang mahu menyerang Rasulullah. Sedangkan di Mekah, Rasulullah adalah di kalangan orang yang baik-baik, kerana orang Mekah sering meletakan barang emas di rumah Rasulullah.” Lalu Mas’ud memohon maaf kepada Rasulullah dan bertanya benda apa yang dapat aku lakukan untuk menebus dosa yang aku lakukan.
Atas pengakuan jujur Mas’ud itu, Nabi Muhammad SAW telah beri mandat kepadanya supaya menggunakan akal fikiran untuk memusnahkan musuh daripada Mekah. Mandat itu dilaksanakan oleh Mas’ud dengan penuh kebijaksanaan. Lalu Mas’ud telah pergi seorang diri dan melaga-lagakan puak-puak Yahudi yang dahulunya berjanji setia dengan Nabi Muhammad––kalau kamu kena serangan kami akan tolong, dan kalau kami kena serangan kamu kena tolong. Akhirnya puak askar Abu Sufian telah berpecah-belah dan Allah kirimkan angin yang kencang, malam yang gelap pekat, udara yang sangat sejuk sehingga semua khemah terbalik. Kemudian Abu Sufian telah mengarahkan askarnya balik dan tidak jadi berperang. Ketika itu Nabi ambil tindakan kepada puak Yahudi kerana mengkhianati perjanjian dan menghalau mereka dari Madinah.
Di atas pengajaran dari sejarah yang dipaparkan ini, maka sambutlah Hari Raya Haji ini dengan rasa syukur, dan janganlah kita terlalu gembira. Kita kena ingat akan kegigihan (pengorbanan) Nabi Ibrahim AS dan Nabi Muhammad SAW itu dan jadikanlah pendoman untuk kita menjadi insan yang bernar-benar taat dan patuh kepada-Nya.
Semoga kita mencapai keredaan Allah di akhirat kelak di atas kegigihan, keikhlasan, serta integriti kita mengambil dan mengamalkan segala kebaikan daripadanya, demi mencari keredaan Allah dan mendapat layanan baik di dalam kubur dan di padang Masyar kelak.
(Perutusan yang disesuaikan dari rakaman RTV Kelantan pada 23 Oktober 2012 bersempena Sambutan Aidil Adha pada 10 Zulhijah 1443 bersamaan 26 Oktober 2012).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan