Bismillah
Istiqamah Dalam Berpegang Pada Agama Allah Bukan
Ringan.
Terutamanya dalam konteks kehidupan
moden sekarang ini apabila budaya hedonism mewarnai corak kehidupan kita dan
membentuk minda masyarakat kita. Solat dipandang aktiviti buang masa, menutup
aurat dilihat ketinggalan zaman dan agama malu untuk diperbincangkan.
Dalam
konteks kehidupan sebegini, melaksanakan tuntutan agama memang terasa berat
untuk dilakukan. Untuk itu, kita memerlukan motivasi dan perancangan yang baik
agar dapat terus istiqamah dalam ibadah.
Pada kesempatan ini, izinkan saya mengajukan
lima petua istiqamah dalam ibadah.
Pertama: Menyedari selalu akan hakikat diri kita yang serba
kekurangan. Manusia adalah makhluk yang sangat lemah. Ia selalu terdedah untuk
pelbagai penyakit, musibah, kemiskinan dan lain sebagainya. Siapa yang ingin
menjaga diri atau keluar daripada perkara-perkara buruk tersebut, ia mesti
menjaga hubungan baiknya dengan Allah Yang Maha Berkuasa.
Imam Al-Syafii pernah
berkata: "Kelemahan adalah sifat manusia yang paling jelas. Barang siapa
yang selalu menyedari sifat ini, ia akan memperoleh istiqamah bersama Allah
SWT."
Kedua: Menyedari hakikat hidup kita di muka bumi ini.
Setiap daripada kita adalah tetamu, dunia ini adalah tempat persinggahan,
negeri asalnya adalah akhirat dan bekalannya adalah ibadah.Setiap tamu suatu
ketika nanti akan pergi meninggalkan tempat persinggahan dan berpindah ke
negeri asalnya. Segala sesuatu yang ingin kita bawa ke akhirat, siapkanlah dari
sekarang. Pastikan kita telah memiliki rumah yang selesa di akhirat nanti
sebelum kita meninggalkan dunia ini. Caranya dengan memperbanyak ibadah dan
amal kebajikan.Selama kita masih hidup di dunia, peluang membeli barangan
akhirat itu masih terbuka. Namun sebaik kita berada dalam sakaratul maut, pada
saat itu peluang tersebut telah tertutup. Pada saat itu, barangan akhirat yang
sangat kita perlukan itu menjadi sangat mahal. Ia tidak lagi dapat dibeli
dengan wang ringgit, bahkan semua harta kita sekalipun.
Allah berfirman: Infakkanlah
sebahagian daripada harta yang telah kami berikan kepadamu sebelum datang
kematian, lalu kamu berkata: Wahai tuhanku, tangguhkanlah sekejap kematian agar
aku dapat bersedekah dan menjadi orang yang saleh. Dan Allah tidak akan
menangguhkan kematian seseorang apabila telah tiba masanya. Allah Maha
Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (al-Munafiqun: 10-11)
Ketiga: Lakukan ibadah mengikut kemampuan.
Jangan terlalu berlebihan sehingga melahirkan rasa bosan dan serik. Dua rakaat
sunat tahajud yang rutin kita kerjakan setiap malam, lebih baik daripada 100
rakaat yang kita lakukan sekali sahaja seumur hidup.
Rasulullah
bersabda: Wahai manusia, ambillah amalan yang kamu mampu lakukannya
(dengan rutin). Sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehinggalah kamu jemu. Dan
amalan yang paling Allah cintai adalah apa yang dilakukan dengan istiqamah,
meskipun sedikit. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut
Ibnu Al-Jauzi, berlebihan dalam ibadah adalah salah satu muslihat syaitan.
Apabila ia tidak dapat menghalangi manusia daripada melakukan ibadah, maka ia
akan mendorongnya untuk melakukan ibadah secara berlebihan. Akhirnya ia sendiri
menjadi bosan dan meninggalkan perbuatan tersebut.
Keempat: Bercampurlah dengan orang-orang yang tepat. Sebab perjalanan
jauh sangat membosankan jika kita menempuhnya seorang diri. Perjalanan itu akan
menjadi lebih ringan, bahkan menyenangkan, jika kita berjalan bersama
orang-orang yang kita cintai. Begitu juga perjalanan kita menuju akhirat.
Justeru, carilah orang-orang
yang satu destinasi dengan kita menuju syurga. Kenali mereka dengan akhlak
mulia yang terdapat dalam diri mereka. Sebab ahli syurga adalah orang-orang
yang sopan, lemah lembut, tawaduk, tidak menyimpan hasad dengki, suka
menghormati orang lain dan pelbagai sifat mulia lainnya.
Setelah anda
menjumpai, bersahabatlah dengan mereka. Sebarkan selalu salam kedamaian sebagai
tanda cinta dan akhlak mulia.
Rasulullah SAW
bersabda: Kamu tidak akan masuk ke syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu
tidak akan beriman sehingga kamu saling mencintai. Mahukah kamu aku beritahukan
sesuatu yang jika dilakukan maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam
di antara kamu. (riwayat Muslim)
Kelima: Muhasabah diri selalu, jangan pernah merasa cukup
atas ibadah dan kebaikan yang kita lakukan dan perbanyakkan berdoa kepada Allah
SWT. Sering-seringlah meminta ketetapan iman dan tidak terpesong daripada jalan
yang Allah redai.
Imam al-Tirmizi meriwayatkan bahawa doa yang selalu
dipanjatkan Rasulullah ialah: "Wahai Allah, tuhan yang membolak-balikkan
hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu."
Umi Salamah: "Ya
Rasulullah, mengapa tuan selalu berdoa seperti ini?"
Baginda menjawab:
"Wahai Umi Salamah, setiap hati anak Adam berada di antara dua jari jemari
Allah. Jika Allah kehendaki, Dia akan menjadikannya lurus. Dan jika Dia
kehendaki maka Dia akan menjadikannya condong kepada kesesatan."
Semoga Allah selalu menetapkan hati kita
dalam agama-Nya dan mengurniai kita istiqamah dalam ibadah. Amin ya rabbal
'alamin
Tea panas ni ada kat kedia Bakery UKm :) |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan