“Apabila
Allah telah menentukan bagi hamba-Nya suatu kedudukan yang tinggi, yang tidak
mungkin tercapai sebab kurangnya amalan hamba itu, maka Allah akan memberi
ujian pada jasadnya atau pada anaknya atau pada hartanya, dan Allah telah
memberikan ketabahan, sehingga dengan ketabahan itu, ia dapat mencapai
kedudukan yang tinggi yang telah ditentukan ke atas dirinya”. (Hadis riwayat
Anas bin Malik)
Ya Allah
Ya tuhanku, kini aku benar-benar mengerti mengapa setiap ujian itu diturunkan
kepada manusia, lebih tepat lagi kepada aku...Tiada kata yang dapat menjelaskan
apa yang dirasa hati tatkala diuduga ujian-Mu Ya Allah. Sungguh benar kita
takkan benar-benar memahami perasaan orang yang mengalami sesuatu musibah
sehinggalah kita sendiri mengalaminya. Kalaupun penyebab dan kejadiannya sama,
tapi tetap berbeza kesannya kerana setiap orang melaluinya dengan tahap
penerimaan dan cara penyelesaian yang berbeza juga.
Cuma
ketika kita diminta memberi nasihat atau bantuan, lancar lidah menyampaikan,
bijak tindakan yang diterjemahkan. Tapi kenapa saat kita mengalami hal itu
sendiri, nasihat dan penyelesaian yang telah kita sampaikan, yang kita
sememangnya tahu isinya, seakan tidak berguna untuk kita? Dan masalah itu tak
dapat diselesaikan atas nasihat yang sama? Ya, jawapannya kerana tahap
penerimaan kita sebenarnya berbeza. Adakah kita menjangka kita lebih tabah dari
orang yang menghadapi sesuatu musibah? Sebab itu kita bercakap dengan mudah
kerana menyangka kita lebih tahu, lebih merasa sengsaranya. Tapi cuba kita
sendiri dalam situasi itu, baru kita tahu tinggi rendah langit yang memayungi.
Kerana itu, jangan ambil mudah setiap kali ada rakan atau sahabat
kita mengadu tentang masalahnya. Tapi berbicaralah dengan kerendahan hati, cuba
fahami dan dengar dengan sabar. Saat-saat seperti itu memerlukan kebijaksanaan
buah fikiran dan tindakan yang berhikmah. Jika tidak mampu, cukuplah engkau
setia menadah telinga, menyerap semua luahan hatinya. Dan pada akhirnya,
peganglah bahunya, katakan dengan lembut yang engkau yakin dia mampu hadapi
semua dengan baik dan engkau sentiasa ada untuk memberi kekuatan kepadanya.
Kadangkala mereka bukan inginkan penyelesaian sangat, tapi kesediaan dan
keprihatinan kita untuk mendengar itu sudah memadai. Luahan hati ibarat terapi
yang menenangkan jiwa.
Ada
yang mudah meluahkan isi hati dengan air mata atau kata-kata, ada juga
menggambarkan dalam bentuk lukisan, lakaran, nyanyian, ada yang memilih puisi
untuk mengungkapkan perasaan dan ada yang menyibukkan diri untuk meluputkan
ketegangan. Walau apa cara sekalipun, yang pasti meluahkan adalah cara terbaik
menghindarkan tekanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan