Rabu, 27 Februari 2013

Ujian, Tindakan dan Perhatian...



“Apabila Allah telah menentukan bagi hamba-Nya suatu kedudukan yang tinggi, yang tidak mungkin tercapai sebab kurangnya amalan hamba itu, maka Allah akan memberi ujian pada jasadnya atau pada anaknya atau pada hartanya, dan Allah telah memberikan ketabahan, sehingga dengan ketabahan itu, ia dapat mencapai kedudukan yang tinggi yang telah ditentukan ke atas dirinya”. (Hadis riwayat Anas bin Malik)

Ya Allah Ya tuhanku, kini aku benar-benar mengerti mengapa setiap ujian itu diturunkan kepada manusia, lebih tepat lagi kepada aku...Tiada kata yang dapat menjelaskan apa yang dirasa hati tatkala diuduga ujian-Mu Ya Allah. Sungguh benar kita takkan benar-benar memahami perasaan orang yang mengalami sesuatu musibah sehinggalah kita sendiri mengalaminya. Kalaupun penyebab dan kejadiannya sama, tapi tetap berbeza kesannya kerana setiap orang melaluinya dengan tahap penerimaan dan cara penyelesaian yang berbeza juga. 

Cuma ketika kita diminta memberi nasihat atau bantuan, lancar lidah menyampaikan, bijak tindakan yang diterjemahkan. Tapi kenapa saat kita mengalami hal itu sendiri, nasihat dan penyelesaian yang telah kita sampaikan, yang kita sememangnya tahu isinya, seakan tidak berguna untuk kita? Dan masalah itu tak dapat diselesaikan atas nasihat yang sama? Ya, jawapannya kerana tahap penerimaan kita sebenarnya berbeza. Adakah kita menjangka kita lebih tabah dari orang yang menghadapi sesuatu musibah? Sebab itu kita bercakap dengan mudah kerana menyangka kita lebih tahu, lebih merasa sengsaranya. Tapi cuba kita sendiri dalam situasi itu, baru kita tahu tinggi rendah langit yang memayungi. 

Kerana itu, jangan ambil mudah setiap kali ada rakan atau sahabat kita mengadu tentang masalahnya. Tapi berbicaralah dengan kerendahan hati, cuba fahami dan dengar dengan sabar. Saat-saat seperti itu memerlukan kebijaksanaan buah fikiran dan tindakan yang berhikmah. Jika tidak mampu, cukuplah engkau setia menadah telinga, menyerap semua luahan hatinya. Dan pada akhirnya, peganglah bahunya, katakan dengan lembut yang engkau yakin dia mampu hadapi semua dengan baik dan engkau sentiasa ada untuk memberi kekuatan kepadanya. Kadangkala mereka bukan inginkan penyelesaian sangat, tapi kesediaan dan keprihatinan kita untuk mendengar itu sudah memadai. Luahan hati ibarat terapi yang menenangkan jiwa. 

Ada yang mudah meluahkan isi hati dengan air mata atau kata-kata, ada juga menggambarkan dalam bentuk lukisan, lakaran, nyanyian, ada yang memilih puisi untuk mengungkapkan perasaan dan ada yang menyibukkan diri untuk meluputkan ketegangan. Walau apa cara sekalipun, yang pasti meluahkan adalah cara terbaik menghindarkan tekanan.

Jumaat, 22 Februari 2013

Deria penting jika tidak dijaga boleh bawa permusuhan

Ramai manusia diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, boleh melihat dengan sempurna ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi.

Tetapi di hari akhirat nanti mereka yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan buta. Persoalan besar timbul di sini kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian?

Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang boleh membangkitkan kebencian pada individu tertentu, prasangka buruk serta bercakap bohong.
Jawapannya ialah kerana mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan Allah, melakukan maksiat dan membuat dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan.

Akibatnya hidup di dunia akan disempitkan, tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. Malahan di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan keingkaran ketika di dunia.

Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, pada hal aku dulu celik?” (Surah Taha, ayat 124-125)

Perbuatan kita semasa di dunia menentukan kedudukan di sisi Allah SWT di akhirat dan begitulah sebaliknya. Jika kita benar-benar taat dan akrabnya di dunia dengan Allah SWT, maka di akhirat pastinya Allah SWT akan mendampingi kita.
Seorang sahabat Nabi, Samurah bin Jundab berkata: “Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya. Barang siapa yang menghormati perintah Allah, lalu bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan Allah, juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, maka kedudukan di sisi Allah pun terhormat.”

Dalam pergaulan seharian tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda.

Dalam banyak-banyak anggota, lidah dan matalah yang paling banyak kesalahan membabitkan sesama manusia. Mata jika tidak dihalakan kepada kebaikan akan mendatangkan kemaksiatan dan dosa lidah dan mata boleh menyebabkan seseorang itu menerima azab di akhirat.

Untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melalui lidah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih bersopan. Sikap tidak menjaga lidah bukan saja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia.

Berkatalah perkara yang benar dengan penuh keberanian walaupun ia sangat pahit untuk ditelan lebih lebih lagi jika kita sebagai pemimpin kerana ia menggambarkan pendirian dan sikap kita sebagai seorang yang beriman.

Berwaspadalah kita akan setiap tutur kata kerana bahayanya lidah bukannya hanya pada individu tertentu tetapi kesannya juga boleh meruntuhkan sesebuah negara dan bangsa.

Justeru, marilah sama-sama kita menghitung diri, adakah kita sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak, adakah segala amalan di dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan akan diperhitungkan.

Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang boleh membangkitkan kebencian pada individu tertentu, prasangka buruk serta bercakap bohong.

Setiap apa yang diucapkan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan yang diredai Allah akan dicatat, manakala perkataan mendatangkan kebencian Allah dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat.

Janganlah kita tergolong dalam golongan mereka yang celik di dunia tapi buta di akhirat. Marilah merenung firman Allah SWT: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Keredhaan MU Ya Allah



Video KeredhaanMu nyanyian Inteam mengusik hatiku, Thanks kepada Mohd Rabien coz menyanyikan lagu ni. Terus diri ini mencari video klip lagu tersebut. 

Rabu, 13 Februari 2013

Hebat: Kekuatan atau Kekurangan?



Wahai anakku,
Kehebatan seorang lelaki itu selama mana ia mampu menahan perasaan marahnya, bilamana ia gagal menahan kemarahannya, maka hilanglah kehebatan seorang lelaki itu. Manakala kehebatan seorang wanita itu terletak kepada setinggi mana perasaan malunya, bilamana hilang perasaan malunya, maka hilanglah kehebatan wanita itu.

Wahai anakku,
Bukanlah kekuatan itu kamu tunjukkan kegagahan kamu dihadapan golongan yang lemah, sedang kamu gagal mengawal nafsu amarah kamu. Ketahuilah, keegoaan itu akan lenyap darimu, bilamana kamu diusung ke kuburmu. Lenyapkan kesombongan kamu dengan membanyakkan pergaulanmu dengan golongan yang tawaduk, buanglah perasaan sombongmu dengan membanyakkan menghadiri pengkebumian, dan ambil iktibar dengan apa yang ada di atas kubur, lebih baik dari kamu mengharapkan iktibar setelah berada dalam kubur.

Wahai anakku,
Janganlah kamu berjalan dengan angkuh dan kesombongan di atas muka bumi ini, kerana suatu hari kamu akan masuk ke dalam perut bumi. Janganlah engkau rakus dan perlahap dengan makanan, kelak kamu akan dibaham oleh ulat- ulat dan cacing di dalam kuburmu. Banyakkan mengigati kematian, itu petanda orang yang berakal, kerana sebaik- baik perancangan masa depan, ialah mereka yang merancang selepas kematiannya.

Senyum......

Jumaat, 8 Februari 2013

GaGaL DaN BeRJaYa



Pernahkah anda mengalami kegagalan...bukankah kegagalan itu menyebabkan anda berasa kecewa? Apa tidaknya, anda telah berusaha sedaya upaya tetapi hasilnya adalah kegagalan.

Bermulalah dari kegagalan untuk kita lebih berjaya. Ya, kita sepatutnya sedih sekiranya kita gagal. Akan tetapi dimanakah berakhirnya sebuah kesedihan itu? Jiwa yang selalu dihimpit kesedihan kerana kegagalan akan menyukarkan lagi kita untuk terus bangkit dari sebuah kegagalan.

Sesungguhnya, kegagalan yang kita terima adalah sebuah ketentuan yang paling layak bagi kita. Beriman kepada Qada' dan Qadar adalah rukun iman yang keenam. Oleh itu kita harus yakin dengan ketentuan atau keputusan kegagalan yang telah kita terima. ALLAH mengetahui apa yang kita tidak ketahui.

Semoga dengan ujian seumpama ini akan memberi kita ketenangan. Ketenangan yang datang dari keimanan kita kepada Qada` dan Qadar. Bina semula kekuatan dalam diri dengan menyiasat punca kegagalan dan memperbaiki kelemahan kita.

Sebenarnya, kejayaan perlu menempuh pelbagai liku dan onak duri. Teruskan usaha dan usahlah patah ke belakang. Kita akan berjaya. InsyaALLAH.


Ahad, 3 Februari 2013

Aku di sini, Kerana sebuah janji

Aku mendongak langit Tuhan,
Tidak berdinding, tiada bertiang.
Di situ aku kibar bendera Tauhid,
Ku iklankan biar alam tahu
Sayangnya kawan,
Langit masih gelap, dunia dibalut malam.
Alam sedang kantuk.
Bendera itu terbiar kaku.

Langkahku atur,
Memalu tabuh mengejutkan yang tidur,
Bangunlah alam lihat langit Tuhan,
Aku dikalahkan kehangatan gebar,
Hampir aku terduduk sayu,
Hingga ada suara menyapa,
“Siapa gerangan engkau? Hingga aku terjaga dari lena?”
Dalam mamai dia bertanya, lantas ku dakapnya penuh cinta,
Allah, akan ku tunjuk agungnya benderaMu

Kami mengatur langkah,
Aku masih memalu tabuh,
Kini, dia di sisi mengetuk pintu,
“Bangun, bangun wahai alam. Dongakkan kepala lihat langit Tuhan!”
Ada kala, pintu di buka lalu dihempas ke muka,
Ada masa, datang wajah bertenaga mahu bersama setelah dia bangkit dari lena,
Aku dakap mereka semua dengan penuh cinta
Kami bersama menyuluh alam
Biar bangkit dari lena panjang,
Biar selamat dari azab menjelang.
Aku masih di sini,
Kerana sebuah janji
Bersama mereka yang berjuang meninggalkan kamar tidur
Bersama kami atur langkah
Mengejutkan alam yang tenggelam dalam mimpi
Memasang obor menerang alam yang kelam
Hingga satu saat, mentari mucul lagi
Bendera berkibar tinggi!

Aku masih di sini,
Tak akan pernah berhenti
Kerana sebuah janji.