Ahad, 27 Mei 2012

Hakikatnya yang Sebenar



Bismillah

Bagi seorang Muslim dia amat jelas daripada perkhabaran al Quran dan juga al Sunnah bahawa hakikat hidup dunia adalah satu perhentian untuk mencari bekal untuk satu kehidupan yang kekal abadi. Nak atau tak nak semua manusia akan menuju kepadanya.Dan semua manusia adalah sama, yang bezanya adalah sama ada dia tahu atau tidak hakikat ini dan apabila dia tahu yang bezanya pula adakah dia bersedia atau tidak untuk menghadapinya.


Kehidupan di dunia ini pada hakikatnya bukan tempat pembalasan sebenar walaupun kadangkala ia nampak macam dibalas baik mereka yang melakukan kebaikan dan dibalas buruk bagi mereka yang melakukan kejahatan. Hakikat sebenar hidup dunia ini adalah tempat ujian dan Allah menjadikan segala bentuk kenikmatan sebagai perhiasan untuk menguji manusia siapakah yang paling baik amalannya.


“Sesungguhnya Kami telah menjadikan segala apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka siapakah yang paling baik amalannya” (al Kahfi 7)


Perhiasan dan Ujian adalah dua perkara yang sinonim, untuk membezakan dan mengkategorikan siapa yang melaluinya. Ada manusia yang tenggelam di dalam perhiasan itu sehingga menyangka bahawa itulah hakikat kehidupan dan tidak ada kehidupan yang lain selainnya(hakikat mereka yang tidak beragama). Ada manusia yang mengetahui adanya kehidupan yang lain selepas ini tetapi tidak mengetahui jalan yang betul untuk menghadapi Ujiantersebut menyebabkan dia juga sesat di dalam Perhiasan itu(inilah hakikat hidup penganut agama selain Islam) . Ada pula manusia yang meyakini adanya kehidupan selepas mati dan mengetahui bahawa dunia ini adalah ujian Allah secara umum, tetapi tidak tahu bagaimana cara ditil yang selamat untuk berjaya menghadapi ujian tersebut( kebanyakan mukmin yang jahil tentang agama), mereka juga akan tenggelam dalam perhiasan yang amat menguji seseorang. Ada pula manusia yang mengetahui semuanya tentang hakikat tersebut tetapi dek kerana Perhiasan itu amat mengujanya dan dek kerana hakikat dirinya yang kalah dengan runtunan nafsu menyebabkan dia menyerah kepadanya( mukmin yg derhaka- ‘Asi -kepada Allah), dan ada pula di kalangan mereka yang tenggelam timbul sekali kalah, sekali menang dan itulah kebiasaan seorang mukmin… dalam berhadapan dengan nafsu dan syaitan…


Kehidupan Adalah Ujian…


Pada hakikatnya semua manusia seolah-olah berada di dalam dewan peperiksaan yang besar yang meliputi alam semesta. Tak kira dia itu seorang pemerintah atau rakyat jelata, seorang alim atau jahil, seorang kaya atau miskin, kesemuanya berada didalam dewan itu dan kesemuanya akan mendapat keputusan sama ada lulus atau gagal.Di sana ada pemerhati yang senentiasa mencatat setiap tingkah lakunya sama ada kecil atau besar :


” Tidak menutur satu kata-kata pun melainkan di sisinya Raqib dan Atid (yg mencatat segala-galanya)” Qaf:18


Begitu juga segala anggota badannya menjadi saksi di atas perbuatannya. Termasuk bumi tempat dia berpijak dan sesama manusia akan menjadi saksi antara satu sama lain dan akhirnya Allah Maha menyaksi atas segala sesuatu…


Tempuh…


Bermula daripada seseorang itu diTaklifkan (berakal dan cukup umur) sehinggalah ke saat kematiannya hakikatnya seorang itu berada di dalam peperiksaan. Bezanya kita dengan seorang pelajar, seorang pelajar mengetahui bila tempuh akhir ujian tersebut sedangkan manusia pada bila-bila masa sahaja loceng Izrail akan dibunyikan menandakan tamatnya tempuh ujian tersebut…


Andaikata seorang pelajar tidak diberitahu bila tempuh tamat ujian dan pada bila-bila masa saja kertas ujiannya akan dipungut nescaya dia akan menggunakan setiap saat serta akan memerahkan segala usahanya yang ada untuk menjawab soalan dengan betul dan tepat tanpa melengahkan dengan apa-apa yang tidak berkaitan dengannya. Begitulah halnya keadaan seorang Muslim apabila dia faham dan sedar tentang Hakikat kehidupan ini. Yang penting baginya adalah kejayaan… yang penting baginya lulus… tak kira apa bentuk soalannya dan berapa banyak yang akan ditanya serta senang atau susah soalannya… yang penting lulus dan jauh daripada kegagalan…


Peralatan ujian


Seorang pelajar peralatan ujiannya adalah pen, pemadam,serta diagihkan kepadanya kertas-kertas soalan dan disediakan kertas jawapannya. Adapun manusia peralatan ujiannya di alam buana ini adalah segala yang dimilikinya, tubuh badannya, masa dan umurnya, hartanya,ilmunya bahkan segala tenaga dan keupayaan yang dikurniakan kepadanya…Itulah peralatan yang digunakan untuk menjawab soalan dengan betul dan tepat…


Skop soalan


Ruang lingkup soalan yang manusia akan menghadapi dalam ujian hidupnya amat luas yang boleh kita simpulkan seperti berikut:


1- Segala perintah dan kefardhuan yang mesti dilakukan…


2- Segala larangan dan perkara yang haram yang mesti dijauhi..


3- Segala nikmat dan kurniaan yang wajib disyukuri… dan


4- Segala kesusahan dan kepayahan yang wajib bersabar dalam menghadapinya…


Kejayaan…


Orang yang akan berjaya hanyalah orang yang dirahmati oleh Allah yang mengikuti Petunjuk Nabi s.a.w. dalam menghadapi kesemuanya itu tanpa lemah atau melampau tanpa mengira daripada golongan mana dia datang. Jika dia daripada pemimpin atau pemerintah maka jawapan yang betul bagi kedudukannya ialah berlaku adil serta menghindarkan segala bentuk kezaliman terhadap mereka yang di bawah pinpinannya . Jika dia ditakdirkan kaya oleh Allah maka dia bersyukur dengan menafkahkan hartanya di jalan yang di tunjuki oleh Muhammad s.a.w. tanpa dipengaruhi sifat bakhil yang bersemi di jiwa. Jika dia Alim dan diberi ilmu oleh Allah dia amanah dengan ilmunya tanpa merasa takut dengan celaan orang yang mencela.Begitulah seterusnya jika dia ditakdirkan miskin atau susah maka jalan kejayaan bagi situasi ini adalah bersabar dengan apa yang dihadapinya serta berusaha mencari sebab dan musabbab untuk melepasi kepayahan itu.Jika berjaya keluar dari kesusahan itu kita bersyukur dan jika tidak kita terus bersabar dan redha dengan ketentuan Ilahi yang mungkin menginginkan KEJAYAAN bagi kita dalam bentuk sedemikian… ” Dan KEBAIKAN AKHIRAT ITU LEBIH BAIK DAN LEBIH KEKAL ABADI…” al A’la:17


Semoga kita semua berjaya di dalam menghadapi ujian ini yang tidak diketahui bilakah penghujungnya…

Rabu, 23 Mei 2012

Nasihat Syeikh Ali Tantawi kepada semua MUSLIMAH

Bismillah

Wahai puteriku… aku seorang bapa yang sedang memasuki usia lima puluh tahun.
Usia muda telah aku lewati aku tinggalkan kenangan, impian, lamunan-lamunan dengan segala ujian-ujian dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan haq yang aku sampaikan secara jelas dan mudah.
Wahai puteriku…banyak aku menulis, sering juga aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral.
Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan khutbahkan… sehingga pena yang aku gunakan menjadi tumpul dan lidahku kelu. Namun tetap tiada hasil yang aku perolehi kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya.
Di setiap pelusuk negara perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda negara demi negara, tanpa satu negara Islam yang mampu mengelak.
Sebagai contoh negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yag sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutup auratnya, sekarang masya-Allah!! Para wanitanya berpakaian terbuka mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tidak akan berjaya. Tahukah engkau apa penyebabnya? Sebabnya ialah sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu jalannya
Wahai puteriku, pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau yakin padanya dan engkau berusaha unuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah menjadi baik.
Engkau benar puteriku, bahawalah kaum lelakilah yang mula mula melangkah menempuh jalan dosa bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah laju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.
Engkau berkata kepada pencuri : “Silakan masuk”…dan setelah engkau kecurian barulah engkau tersedar. Ketika itu barulah engkau berteriak ..”tolong….tolong…aku kecurian.”
Seandainya engkau tahu bahawa lelaki itu adalah serigala dan engkau adalah kambing, pasti engkau akan lari seperti larinya kambing dalam ancaman cengkaman serigala.
Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki adalah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspada seorang yang kikir terhadap pencuri.
Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki meinginkan lebih dari sekadar kambing……dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.
Lelaki menghendaki yang paling berharga darimu…iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.
Wahai puteriku….Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu bertelanjang dihadapannya tanpa pakaian.
Aku bersumpah lagi: Demi Allah, jangan percaya terhadap kata kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab”. Bohong …bohong …demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan antara mereka, pasti engkau takut dan ngeri.”
Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal.
Apakah sesudah itu puteriku?
Renungkanlah!

Jumaat, 4 Mei 2012

Amanah Dunia untuk Akhirat

Bismillah

Alhamdulillah ya Allah.. Terima Kasih Allah kerana masih lagi meminjamkan aku beberapa detik nyawa untuk aku melafazkan Syukur padaMu Allah. Terima kasih kerana memberikan peluang untuk aku menikmati Usia 22 tahun. Hari ini ku bersujud menyembahkan syukur padaMu Allah.
Tepat Jam 10:05 malam, maka secara rasminya telah dibubarkan kepimpinan Kelab Nahdah Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam.. Maka, telah berakhirlah sesi kepimpinan Nahdah bagi sesi 2011/2012. Banyak yang dapatku ambil dari kawan2..

Khamis, 3 Mei 2012

Manusia Merancang, Allah yang Menentukan



Bismillah




Manusia merancang, Tuhan yang menentukannya.

Sebaik-baik rancangan manusia tidak akan terjadi kecuali melalui kebenaran, pengetahuan dan pelan Ilahi Allah swt.

(Quran 2:155)
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

(Quran 54:49)
Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).

(Quran 57:22)
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

Jadi bersabarlah, kawallah emosi dan fikiran daripada melayang semasa Allah menguji hambanya dengan pelbagai cabaran sebelum mencapai matlamat perjuangan.

Usah persoalkan mengapakah Allah berbuat demikian. Allah lebih mengetahui. Hiduplah pada saat ini.

Semua ada hikmahnya, dan percayalah dan yakinlah pada Allah. SENYUM.